Sunday, February 26, 2012

Malas Itu Satu Dosa

Assalamualaikum, lama saya tidak ‘update’ blog ini. Maklumlah bila ada topik barulah tangan ini mahu bergerak menaip apa yang terbuku di hati.

Topik kali ini “Malas itu satu dosa”. Topik ini sebenarnya tercetus lima bulan yang lalu apabila sy menonton video Mukmin Profesional yang disampaikan oleh Ustaz Pahrol Juoi.

Antara ayat-ayat beliau yang menarik perhatian saya adalah;

“Ada satu dosa yang tidak akan Allah ampunkan ataupun tidak akan Allah terima taubatnya kecuali dengan bekerja keras. Dosa itu ialah dosa MALAS. Dalam Islam malas itu satu dosa.”

Lalu terdetik di hati, “oh, rupanya malas itu satu dosa? Tapi bagaimana boleh malas itu satu dosa?” Hati ini begitu tertanya-tanya. Bukan mahu menolak hukum sikap malas tersebut namun, hati ini mahukan penjelasan yang lebih terperinci, “Apa yang dimaksudkan malas itu satu dosa?”. Persoalan itu terbiar begitu sahaja tanpa ada jawapannya.

Saya meneruskan kehidupan di kampus seperti biasa namun, ada satu masalah yang melanda saya sepanjang semester (tiga) tersebut. Kemalasan melanda diri sukar dibendung. Apabila mengikuti program-program universiti ataupun masjid, semangat dan kerajinan diri membuak-buak. Namun apabila masuk kuliah, duduk atas meja belajar, semangat itu, kerajinan itu hilang serta-merta. Persoalan timbul di dalam hati “kenapa begini? Saya sedar saya malas tapi saya tidak dapat kawal kemalasan itu?”. Hampir setiap hari lewat masuk kuliah. Kadang-kadang tidak hadir kuliah dengan alasan-alasan yang tidak munasabah, ‘assignment’ kumpulan dilakukan ala kadar, tidak melakukan persediaan menghadapi ‘test’ dan ‘mid-term’.

Sehinggalah tiba ‘final exam’, agenda setiap semester yang paling digeruni dalam kehidupan kampus seorang mahasiswa(i). ‘Study week’ yang diperuntukkan seminggu tidak digunakan sebaik-baiknya. Tidur antara agenda harian yang diutamakan. Bermulanya ‘paper’ pertama sehingga ‘paper’ terakhir. Alhamdulillah saya masih boleh menjawab 1/3 hingga ½ daripada soalan peperiksaan, sesuai dengan waktu yang saya peruntukkan untuk belajar sepanjang satu semester tersebut. Cuti pertengahan semester saya dimulai dengan hati yang tidak tenang, hati ini dapat rasakan ‘pointer’ semester (tiga) ini akan jatuh teruk. Namun, digagahkan juga kaki ini terus melangkah menempuh kehidupan.

Sebelum balik ke kampung untuk bercuti, saya membeli buku Mukmin Profesional karangan Ustaz Pahrol Juoi. Buku yang baik dibaca untuk meningkatkan motivasi sebagai seorang mukmin. Buku ini menjawab persoalan “Bagaimana menjadi hamba Allah yang sentiasa ingin perbaiki diri dan bagaimana menjadi seorang mukmin yang profesional dalam kehidupannya?”.

Tiga minggu kemudian keputusan peperiksaan diumumkan, seperti yang dijangkakan ‘pointer’ jatuh teruk daripada tiga pointer lebih (semester 2) pada dua pointer lebih sahaja (semester 3). Allahurabbi, sakitnya jatuh! Dada ini seolah-olah sesak untuk bernafas. Saya tidak menangis disaat melihat keputusan tersebut tetapi hakikatnya hati ini meraung kesakitan akibat ‘terjatuh’. Alhamdulillah, Allah bagi kekuatan untuk terus melangkah bagi meneruskan pengajian semester 4.

'Jatuh' itu sakit, memang sakit! Namun Rasulullah tidak pernah mengajar umatnya untuk berputus asa dan kecewa. Lalu, saya berazam untuk BANGKIT! Sebagaimana bangkitnya rakyat Mesir dan Syria menentang kerajaan mereka yang zalim itu. Kebangkitan diri ini dimulai dengan muhasabah diri. “Apa yang menyebabkan saya jatuh teruk semester tiga yang lalu?” Akal dan hati ini disatukan untuk mencari jawapan. Alhamdulillah, Allah membuka minda dan mata hati ini untuk melihat kekhilafan diri. MALAS adalah jawapannya. Sepanjang semester tiga saya telah bersikap malas sebab itulah pointer saya jatuh teruk. Alhamdulillah, pada waktu yang sama juga persoalan yang timbul pada awal semester tiga yang lalu (lima bulan yang lalu) juga telah terjawab. “oh, rupanya malas itu satu dosa? Tapi bagaimana boleh malas itu satu dosa?”.

Malas itu satu dosa kerana sikap itu memudaratkan diri saya, malas itu menyebabkan saya telah meletakkan diri ini pada satu tahap yang rendah (pointer yang rendah), akhlak yang rendah.

Firman Allah s.w.t:

“Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

(al-Baqarah: 195)

Saya telah melanggar perintah Allah ini dengan bersikap malas, menzalimi diri sendiri sehingga mendapat keputusan peperiksaan yang tidak baik dan melanggar perintah Allah adalah satu dosa.

Subhanallah, rupanya Allah mahu menjawab persoalan yang timbul di hati saya lima bulan yang lalu melalui kehidupan saya sepanjang semester tiga.

Kini (semester empat), saya berazam mahu bangkit! Bangkit kembali daripada jatuh! Saya mahu belajar erti BANGKIT! Allahuakbar!

P/s: Sahabat-sahabat, topik ini bukan berniat untuk saya mengaibkan diri sendiri, bukan juga berniat mahu menunjuk-nunjuk bahwa Allah telah membuka mata hati ini melihat kehidupan. Tetapi topik ini untuk membawa sahabat-sahabat mengambil ibrah dalam setiap kehidupan yang Allah aturkan dalam hayat kita. Kita merancang Allah jualah yang menentukan. Lihatlah kehidupan dengan mata hati. Sahabat-sahabat akan melihat apa sebenarnya yang Allah ingin ajarkan melalui kehidupan kita.

Wallahualam.