Sunday, January 30, 2011

Mimpi Qiam

Hari ini bapa marah lagi. Suasana dapur rumah yang sunyi dipecahkan dengan suara bapa. Bapa menyuruh abang tengokkan sesuatu untuknya, penutup botol, tetapi abang buat endah tak endah.

"Tidak ada" jawab abang ringkas tanpa bergerak seinci pun. Aku dapat melihat kemarahan diwajah bapa.

"Betul tidak ada?" tanya bapa sambil menuju ke tempat tersimpannya penutup botol itu. Ternyata ada.

"Ini apa? Tiada?!" suara bapa kuat sambil melempar penutup botol itu ke arah abang bertubi-tubi. Aku tidak dapat berdiam diri.

"Pa, bapa mula mahu marah-marah lagi!" kataku.
Bapa beralih ke arahku dengan memegang sebatang rotan.

"Kau pun mahu melawan bapa!" kata bapa sambil tangannya sedia mengangkat rotan itu untuk memukulku.

Aku menahan tangan bapa.

"Tidak, saya tidak akan biarkan bapa rotan saya dalam keadaan marah!" Spontan.
Aku tidak tahu daripada mana aku mendapat kekuatan untuk menghalang bapa daripada memukulku seperti dahulu.

Bapa terdiam, bapa berjalan menuju ke arah ruang tamu dan duduk di sebelah mama. Aku menuju ke arah bapa. Duduk berlutut di hadapan bapa. Memegang tangan bapa.

"Saya minta ampun pa, kalau saya salah, jangan pukul kami dalam keadaan marah, saya minta ampun", aku berkata.

Air mata deras mengalir membasahi pipiku. Aku tersedu-sedan.

Aku terjaga daripada tidur dalam keadaan tersedu-sedan. Rupanya aku bermimpi. Mimpi itu membuatku menangis setelah sedar daripada tidur.

Aku melihat jam handphone, jam 3.30 pagi.

"Lebih baik saya qiamullail terus. Alhamdulillahil ladzi ahyana ba’da ma amatana wailaihin nusyur".
***************************